Saturday 16 April 2016

LATAR BELAKANG PENUBUHAN ORGANISASI



                  KWSP telah ditubuhkan pada tahun 1951 untuk membantu para pekerja menabung bagi tujuan persediaan persaraan mereka. Sebelum KWSP wujud, beberapa agensi kumpulan wang simpanan yang kecil telah ditubuhkan oleh majikan di sektor perlombongan dan perladangan. Bagaimanapun, dengan tertubuhnya KWSP, kumpulan wang yang diuruskan oleh majikan ini tidak lagi beroperasi kerana diambil alih oleh KWSP sepenuhnya. Melalui KWSP, satu skim tabungan nasional yang dapat memberikan manfaat persaraan yang seragam dan efektif dapat diwujudkan.

                  Idea asal penubuhan KWSP adalah berasal daripada seorang warga Inggeris yang telah  memulakan perkhidmatan wang simpanan pekerja di pejabat pos. Transaksi pada masa tersebut adalah berasaskan cara manual iaitu penggunaan buku–buku lejar untuk mencatatkan data–data setiap transaksi. Caruman yang pertama dicatatkan adalah pada tahun 1952. Selanjutnya, pada tahun 1960–an, system KWSP telah dinaik taraf dengan menukar sistem manual kepada sistem komputer yang lebih mudah, lancar dan berkesan. Kini, bermula tahun 2007 sistem BDS dan IES telah diperkenalkan bagi transaksi yang lebih efektif dan menyeluruh.

                 Sejak penubuhannya, KWSP telah berkembang daripada satu skim tabungan yang kecil kepada yang terbesar di Malaysia. Selaras dengan peningkatan sosio – ekonomi negara, bilangan ahli dan majikan yang mencarum serta jumlah caruman dan aset KWSP telah turut meningkat. Bermula sebagai satu skim simpanan hari tua yang mudah, kini KWSP telah berkembang kepada skim simpanan yang menyediakan pelbagai jenis pengeluaran yang diperkenalkan kepada ahli dari semasa ke semasa.

                KWSP ialah sebuah organisasi Badan Berkanun di bawah Kementerian Kewangan Malaysia. Pada masa ini, KWSP diuruskan oleh sebuah Lembaga yang dianggotai oleh seramai 20 orang ahli terdiri daripada wakil kerajaan, wakil pekerja, wakil majikan dan kumpulan professional. Lembaga ini bertanggungjawab menggubal semua polisi KWSP dan menentukan perlaksanaannya kecuali yang berkaitan dengan pelaburan. Selain Lembaga, Akta KWSP juga mempunyai peruntukan bagi menubuhkan Panel Pelaburan yang bertanggungjawab bagi semua perkara berkaitan pelaburan. Urusan pentadbiran harian pula dilaksanakan oleh Pengurusan KWSP yang diketuai oleh seorang CEO.

              Secara umumnya, KWSP mewajibkan setiap pekerja menyimpan sebahagian daripada upah mereka dan majikan pula menambah simpanan tersebut dalam kadar yang tertentu, untuk membolehkan pekerja mempunyai simpanan untuk tujuan persediaan persaraan. Caruman pekerja dan majikan ini pula akan dilaburkan oleh KWSP bagi meningkatkan nilai simpanan persaraan mereka sesuai dengan kadar inflasi dan kos kehidupan yang semakin meningkat.

No comments:

Post a Comment